zahid vs irma

Zahid vs Irma – satu perbandingan yang
signifikan
.

Description:
HARI ini jika ditanya 10 orang Melayu di negara ini,
mungkin lima atau lebih daripada mereka kenal siapa
dia Zahid, bukan Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan
Menteri Pelancongan, tetapi Ahmad Zahid Baharuddin
juara Akademi Fantasia 2 (AF2). Tetapi jika ditanya
siapa anak Melayu bernama Irma Nurzahrah Junian,
jangankan 10, tanya 1,000 orang Melayu pun belum tentu
ada yang mengenali beliau. Kejuaraan Debat Universiti
Dunia yang diadakan di Universiti Teknologi Nanyang,
Singapura awal tahun ini disertai lebih 1,000 peserta
daripada lebih 100 universiti termasuk Malaysia.

Irma Nurzahrah, 22, dari Malaysia dinobatkan pemidato
terbaik dunia apabila beliau mengalahkan peserta dari
Universiti British Columbia dan Universiti Alberta,
Kanada pada peringkat akhir.

Tetapi sayangnya, orang kita mungkin kurang tahu hal
ini kerana kurang atau tiada liputan media
mengenainya. Inilah manifestasi kemelut minda orang
Melayu yang seolah-olah tidak tahu
lagi membezakan antara kaca dengan permata. Ia bukan
saja menjangkiti orang Melayu kebanyakan bahkan kelas
atasan seperti ahli korporat, pemimpin dan cerdik
pandai turut dijangkiti ‘wabak’ ini walaupun bukan
semua.

Budaya mengidolakan artis atau berhibur semakin
menjadi-jadi dewasa ini bahkan ada kalanya sehingga
pada tahap melampau. Jika tiada hiburan majlis,
program, sambutan dan apa saja peristiwa seakan-akan
tidak sempurna. Daripada program amal sehinggalah ke
program motivasi pelajar sekolah, artis mendapat
tempat amat istimewa pada mata penganjur. Mungkin
inilah puncanya sehingga ulama terpaksa bersuara agak
nyaring sehingga menusuk
gegendang telinga banyak pihak yang mendengar.

Hatta, pada Muktamar Pas, baru-baru ini turut
dilaporkan ada cadangan daripada ahli sayap Wanita
parti itu yang bercadang ingin mengguna pakai
pendekatan berkonsert bagi menarik minat lebih ramai
orang muda terhadap parti itu, walaupun kononnya
dengan pendekatan yang lebih Islamik. Soalnya, kenapa
mesti hiburan?

Untuk ‘perjuangan’ 10 minggu, artis seperti Zahid di
AF2, Melayu sanggup menitiskan air mata, berbelanja
sehingga RM7.5 juta untuk khidmat pesanan ringkas
(SMS), demam panas, membuang masa berjam-jam menonton
televisyen serta mengadakan majlis sambutan dan
penghargaan untuknya setelah beliau dinobatkan sebagai
juara.

Kebetulan hampir semua universiti baru saja selesai
mengadakan majlis konvokesyen masing-masing. Tetapi
bagi pelajar Melayu yang lulus cemerlang selepas
berhempas pulas bertahun-tahun memerah otak untuk
memakai jubah dan menerima ijazah pada majlis
konvokesyen, ada sesiapa yang menangis selain ibu bapa
mereka atau membuat sambutan bagi menghargai usaha dan
kejayaan mereka kerana mereka anak kelahiran tempat
atau daerah tertentu? Apakah usaha Zahid seorang
sehingga berjaya menyarung jubah ‘konvokesyen’ AF2
setanding usaha seorang pelajar Melayu yang berjaya
menamatkan pengajian walaupun cacat penglihatan?

Apa hebatnya Zahid yang berjaya mengalahkan peserta
dari negeri lain dengan mendendangkan lagu Biarkan
Bulan Bicara dan Milikku berbanding Irma Nurzahrah dan
rakannya Raihan Ismail yang berjaya ke peringkat akhir
debat dunia kategori bahasa Inggeris sebagai bahasa
kedua membahaskan tajuk That Japan Should Involve In
Peacekeeping In Foreign Land mengalahkan peserta
dari negara lain? Nampaknya menyarung jubah AF dan
menerima hadiah daripada Ramli MS lebih mahal pada
mata kebanyakan orang Melayu daripada menyarung jubah
konvokesyen dan menerima segulung ijazah daripada
canselor atau rektor universiti. Apa sudah jadi?

Sindrom berhibur melampau ini sebenarnya menampakkan
kecetekan jiwa dan minda bangsa Melayu yang sejak
sekian lama sememangnya berkrisis.

Kemelut minda orang Melayu telah lama menjadi topik
dan tema pelbagai perbincangan, tulisan dan seminar
inisiatif cerdik pandai dan pemimpin Melayu.

Namun, hingga kini ia masih sukar untuk dirungkai.
Salah siapa? Mereka yang berbincang, menulis atau
berseminar atau mereka yang malas berfikir.

Berhibur tidak salah jika kena pada tempat dan
caranya. Tetapi berhibur semata-mata bukanlah cara
bangsa yang merdeka. Hidup penuh hiburan adalah
simptom kejatuhan dan keruntuhan sesuatu tamadun.

Barat berdiri megah kerana maju. Malangnya jiwa bangsa
mereka tempang kerana hedonisme menjadi sebahagian
budaya hidup mereka. Tamadun yang mereka bina
sebenarnya menuju kelam.

Allah swt tidak melarang manusia berhibur mengikut
lunas petunjuk-Nya, tetapi Allah mengangkat darjat
orang yang berilmu. Jika kita dambakan kejayaan
duniawi dan ukhrawi maka hendaklah menjadi hamba
kepada ilmu dan bukannya menjadi abdi kepada hiburan.

Orang Melayu di negara ini memikul dwiamanah yang
cukup besar sifatnya. Sebagai khalifah mentadbir alam
ini daripada manusia pertama bernama Adam as, dan
sebagai pewaris kedaulatan tanah tumpah darah ini
daripada pejuang kemerdekaan silam.

Pada 31 Ogos, genap 47 tahun kita merdeka daripada
penjajahan imperialis. Kita seronok kibarkan bendera
dan laungkan merdeka, tetapi mungkin tiada yang
menitiskan air mata menginsafi pengertian, keperitan
dan pengorbanan di sebalik erti sebuah kemerdekaan
melainkan mereka yang terbabit melakar
sejarah itu.

Tetapi yang menghairankan apakah alasan orang kita
menangis melihat idola mereka ‘terkorban’ dalam AF dan
rancangan seumpamanya. Jangan sampai kita menang
sorak, tanah tergadai kerana kita memang telah banyak
bersorak untuk perkara yang tidak berfaedah.

Maka, jika selepas ini ada sesiapa yang bertanya Irma
Nurzahrah itu anak siapa, kelahiran mana dan belajar
di universiti mana untuk memberi penghargaan
kepadanya, terserahlah kepada orang Melayu sendiri
untuk mencari jawapannya, jika masih ada yang sudi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s