bank islam under org luar dh rupenye…

DIG mahu Bank Islam muncul terbaik di dunia

DUBAI 10 Okt. – Konglomerat terbesar Emiriah Arab Bersatu yang mengambil alih pegangan utama dalam Bank Islam Malaysia Bhd. berkata, ia mahu melihat bank itu menjadi satu daripada bank Islam terbaik dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Investment Group (DIG), anak syarikat Dubai Holding, Soud Ba’alawy berkata, pelaburan dalam Bank Islam akan ‘membuka jambatan’ antara Asia Barat dan Asia Tenggara memandangkan terdapat lebihan mudah tunai di negara-negara Teluk.

“Gabungan DIG dan Bank Islam mewujudkan jambatan ini dan langkah Bank Islam menerima kami merupakan pembukaan kepada lebihan mudah tunai di negara-negara Teluk yang meninjau peluang untuk menempatkan wang mereka bagi mendapat pulangan yang berbaloi,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

DIG mengambil alih 40 peratus pegangan bernilai RM828 juta dalam Bank Islam dalam apa yang dilihat sebagai pelaburan langsung asing tunggal terbesar dalam sektor kewangan Malaysia.

Lembaga Tabung Haji Malaysia (Tabung Haji) muncul sebagai satu lagi pemegang saham baru dengan sembilan peratus pegangan bernilai RM186 juta dalam Bank Islam, yang kini dalam proses ‘pembersihan’.

“Bank Islam bukan hanya sebuah institusi, ia adalah sebahagian daripada masyarakat. Jadi sebagai seorang warga asing, untuk datang ke negara seperti Malaysia adalah amat perlu bagi kami memainkan peranan penting dalam institusi seperti itu,” katanya.

Penyusunan semula Bank Islam dengan suntikan sebanyak kira-kira RM1.014 bilion daripada DIG dan Tabung Haji dalam satu transaksi tunggal akan dibuat secara rasmi pada majlis pemeteraian di Kuala Lumpur pada 16 Oktober ini.

Ba’alawy berkata, sektor kewangan Islam dianggarkan bernilai sekitar AS$350 bilion dan berkembang kira-kira 16 peratus setahun.

Sektor berkenaan juga mencatatkan pulangan jauh lebih baik daripada bank-bank konvensional pada kira-kira 20 hingga 22 peratus, kata beliau.

Tetapi apa yang masih kurang ialah ketiadaan penggiat global yang sebenarnya dalam perbankan Islam memandangkan kebanyakannya masih di peringkat domestik.

“Jadi kami rasa kami perlu mewujudkan pada jangka panjang sebuah konglomerat yang dapat bersaing dengan bank konvensional dalam skala global untuk mengambil bahagian secara sepenuhnya dalam pembangunan ekonomi antarabangsa.”

Kewangan Islam mengharamkan pendapatan dan pembayaran faedah serta menolak pelaburan dalam perniagaan yang berkait dengan perjudian dan minuman beralkohol.

CEO DIG itu berkata, dunia Islam, dengan jumlah penduduk lebih satu bilion, memerlukan banyak pembangunan.

Bank-bank Islam pula boleh menjadi lebih baik di negara-negara ini berbanding bank konvensional kerana idea perbankan Islam adalah untuk mengambil risiko dan berkongsi risiko.

Ba’alawy juga bercakap mengenai faktor lain yang menarik DIG untuk menjadi rakan Bank Islam.

“Saya rasa sokongan yang diperoleh Bank Islam daripada bank pusat (Bank Negara Malaysia) penting kepada kami.

“Gabenor bank Pusat anda (Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz) melaksanakan tugas yang baik dengan hebatnya dalam mengadakan peraturan yang amat menarik untuk orang seperti kami…terdapat banyak perkara yang mereka telah mulakan dari segi Syariah dan bagaimana anda mengendalikan isu Syariah dan semua itu.

“Kerana itu, apabila kami melihat Malaysia, kami berkongsi pemikiran yang sama dari segi perkembangan ekonomi, dari segi keterbukaan kepada idea, keterbukaan kepada budaya yang berbeza dan dari aspek persekitaran perundangan, yang amat kukuh dan progresif.”

Malaysia, kata Ba’alawy, juga merupakan satu daripada negara Islam yang sebenarnya memberi tumpuan terhadap membangunkan negara Islam yang lain.

Faktor itulah yang membuatkan DIG memutuskan bahawa tiba masanya bagi ‘mengambil risiko’ melalui jalinan perkongsian dengan Bank Islam, katanya.

Tetapi, beliau berkata, faktor utama lain yang menggalakkan DIG untuk membeli saham Bank Islam ialah pengurusan baru yang diketuai oleh Pengarah Urusan Kumpulan BIMB Holdings Bhd., Datuk Noorazman Abdul Aziz, dan Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Zukri Samat.

– Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s