Pelajar Tajaan Kerajaan Tak Dibenar Tangguh Pulang Ke Tanah Air

Pelajar Tajaan Kerajaan Tak Dibenar Tangguh Pulang Ke Tanah Air

KUALA LUMPUR:
Pelajar Malaysia di luar negara dalam semua bidang pengajian yang
ditaja dengan biasiswa kerajaan tidak lagi dibenarkan menangguh
kepulangan mereka ke tanah air atas apa juga alasan.

Dasar baru itu terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 tahun 2010 yang berkuatkuasa 29 Januari lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam
berkata, ekoran itu Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2007
yang bertajuk "Dasar Penangguhan Balik Pelajar-Pelajar Tajaan Kerajaan
di Luar Negara" dibatalkan.

Dasar itu membenarkan pelajar menangguhkan kepulangan mereka ke
tanah air dengan sebab tertentu seperti malanjutkan pengajian ke
peringkat kepakaran atau menunggu pasangan, sama ada suami atau isteri
yang ditaja oleh agensi kerajaan, untuk menamatkan pengajian.

Dalam pekeliling yang baru itu, Ismail berkata, pelajar perubatan,
pergigian dan farmasi yang ditaja oleh agensi penajaan kerajaan sama
ada secara biasiswa atau pinjaman pelajaran hendaklah kembali ke
Malaysia untuk menjalani "housemanship" setelah tamat pelajaran.

"Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat
tidak terjejas, kerajaan berpandangan bahawa dengan mengambil kira
bidang tertentu yang amat diperlukan negara, pelajar dalam bidang
tersebut perlu kembali ke tanah air untuk menyumbang khidmat bakti
mereka kepada masyarakat dan negara," katanya.

Ismail berkata, pelajar dalam bidang kritikal itu bagaimanapun akan
mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran
dan sub-kepakaran semasa berkhidmat kelak.

Katanya, pelajar yang ditaja secara pinjaman pelajaran, sama ada
bagi bidang kritikal ataupun bukan kritikal, dibenarkan membuat
penangguhan balik bergantung kepada pertimbangan kerajaan dengan
penguatkuasaan daripada segi melapor diri dan bayaran balik pinjaman
perlu dipertingkatkan.

Dalam pekeliling itu juga Ismail menjelaskan bahawa pelajar yang
dalam tempoh pengajian tidak boleh berkahwin kecuali dengan kebenaran
kerajaan.

Sebarang pertanyaan mengenai pekeliling tersebut boleh dibuat dengan
menghubungi talian 03-88853000 atau 03-88854000 atau hadir sendiri ke
Bahagian Latihan, JPA di Aras 6, Blok C1, Kompleks C, Putrajaya. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s